Wabak HFMD semakin menular maka diharap pihak ibu bapa turut mengambil tahu sedikit sebanyak mengenai apa itu HFMD.

Tanda-tanda HFMD

HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat yang disusuli dengan kurang selera makan. Dalam sehari atau dua, luka (ulser) di mulut akan timbul. Sebilangan kanak-kanak mungkin mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang berkemungkinan menjadi lepuh. Ruam ini juga boleh terjadi pada lutut, siku dan bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan.

Kekeringan badan atau dehidrasi akan mudah terjadi disebabkan ada sebilangan kanak-kanak menjadi kurang selera makan dan minum akibat sakit pada mulut.

Tidak semua kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami tanda dan gejala yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mengalami ruam merah atau lepuh pada kulit atau luka pada mulut. Sebilangan kanak-kanak lain mungkin dijangkiti tanpa kehadiran sebarang tanda atau gejala.

Bagaimana Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut berjangkit?

Penyakit HFMD adalah sejenis penyakit berjangkit. Virus penyebab penyakit ini boleh ditemui di hidung, tekak, cecair lepuhan kulit dan pada najis pesakit.

Virus akan tersebar daripada pesakit kepada orang lain (khususnya kanak-kanak) melalui :

  • Batuk atau bersin;
  • Hubungan rapat contohnya bermain;
  • Berlaku sentuhan dengan cecair lepuhan atau najis pesakit;
  • Perkongsian peralatan makanan seperti sudu, garpu atau peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan berus gigi;
  • Bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus seperti pemegang pintu tandas.

Pesakit boleh menyebarkan virus dalam tempoh seminggu ia mengalami gejala dan tanda-tanda penyakit HFMD.